Wednesday, August 26, 2009

Samseng Jalanan Persenda Peronda - Petikan dari Berita Harian Online 26 Ogos 2009

Wajarkah anak muda atau belia kita bersikap sebegini rupa? Masalah macam ini bukan sahaja di Terengganu, malah hampir ke semua negeri di M'sia...

Timur: Samseng jalanan persenda peronda

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Kumpulan kapcai tunjuk aksi ketika kenderaan polis di laluan bertentangan

KUALA TERENGGANU: Ramadan tidak dapat menginsafkan kumpulan samseng jalanan yang masih terus beraja di jalan, terutama menjelang dinihari pada setiap hujung minggu, malah kehadiran kereta peronda polis tidak menggentarkan mereka, sebaliknya kumpulan kapcai semakin bertambah besar seiring malam yang makin larut.

Tinjauan Berita Harian pada malam Sabtu lalu di Jalan Durian Burung dan kawasan Padang Midin, antara 'litar' utama samseng jalanan untuk mempamerkan kehebatan mereka menggunakan motosikal kapcai yang sudah diubah suai, jelas menunjukkan kumpulan samseng jalanan ini tidak pernah takut dengan polis, terutama apabila kumpulan mereka menjadi bertambah besar.

Mulai jam 12 malam, dapat dilihat kumpulan samseng jalanan mulai keluar dari kawasan kampung masing-masing dalam kumpulan kecil menuju ke arah Jalan Durian Burung di mana mereka bertemu dengan kumpulan lain dan membentuk kumpulan besar.

Dari sinilah pergerakan mereka menjadi lebih galak dan bermulalah aksi hebat bermotosikal dan paling menarik aksi mereka yang seperti mempermainkan kereta peronda polis yang datang dari lorong bersebelahan. Apabila kereta peronda berpusing, mereka akan memecut dan mengambil pusingan U tidak jauh dari situ untuk berada di lorong bertentangan, malah ada yang berhenti di tepi jalan.

Apabila kelibat kereta peronda polis sudah tiada dan beberapa anggota pasukan mereka sudah memastikan jalan raya 'bersih', aktiviti mereka sebagai raja di jalan diteruskan tanpa mempedulikan kesusahan pengguna lain.

Dalam tinjauan kami sekitar jam 12 tengah malam hingga 2 pagi, kumpulan samseng jalanan itu yang dianggarkan berjumlah antara 100 hingga 150 motosikal kapcai yang sebahagiannya sudah diubah suai, tetap meneruskan kegiatan walaupun menyedari kehadiran beberapa kereta peronda apatah lagi penduduk sekitar sedang membuat persiapan bersahur.

Seorang penduduk yang ditemui, Aida Abdul Rahman, 29, berkata kumpulan samseng jalanan yang sering berlumba pada malam minggu, terutama malam Jumaat dan Sabtu membuat bunyi bising dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

"Memang kereta peronda polis selalu memantau kawasan ini (Durian Burung) tetapi kumpulan samseng jalanan selalunya berhenti seketika, dan selepas mereka melihat kelibat kereta peronda hilang, mereka kembali semula berlumba dan kadang-kadang membahayakan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, ketika dihubungi berkata, JPJ sentiasa mengadakan operasi bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan mengadakan sekatan di beberapa lokasi tertentu untuk membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan daripada terus berleluasa.

"Memang menjadi fokus kami bersama-sama PDRM untuk membasmi dan membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan ini daripada terus berleluasa dan pemantauan serta operasi bersama kerap dilakukan ketika hujung minggu dengan JPJ terbabit dalam aspek teknikal manakala PDRM dalam aspek pencegahan," katanya.

"Kadang-kadang operasi bersama dilakukan di beberapa lokasi tertentu secara `ad-hoc' selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan ada kalanya mengikut lokasi yang sudah ditetapkan.

"Tapi kita tahu mereka ini licik dan sering dapat menghidu setiap operasi yang dijalankan," katanya sambil menambah operasi akan diteruskan bagi membersihkan beberapa batang jalan raya di bandar raya ini daripada terus dilabel sebagai litar lumba haram.

No comments:

Post a Comment